Sunday 29 April 2012

Sumbangan Tamadun Islam Dalam BIdang Astronomi


1, Pengenalan
Sumbangan oleh para ahli astronomi Islam sekitar kurun ke 9 dan 12 adalah sangat memberi kesan yang besar terhadap dunia astronomi masa kini. Sumbangan yang inovatif dan tepat itu masih lagi digunakan dan dinikmati sehingga zaman kini. Banyak konsep asas dalam astronomi moden dicipta secara terus oleh para sarjana Islam atau terbit hasil dari kesan penemuan mereka oleh para astronomi yang seterusnya.

Kebanyakan hasil kerja para sarjana Islam sangat dikagumi oleh barat sehingga mereka ini dikenali dan dikagumi oleh para saintis barat pada masa itu. Kebanyakan ahli astronomi Islam ini dikenali di barat dengan nama Inggeris seperti Suter, Sezgin dan Sarton dan banyak lagi. Antara mereka ialah Al-Battani (929) yang menulis jadual Sabian (al-Zij al-Sabi), sebuah kitab yang amat bernilai selama beberapa abad selepas beliau. Hasil kerja beliau juga termasuk pengiraan masa bulan baru, pengiraan panjang solar dan tahun sideral, jangkaan gerhana dan fenomena kesilapan paralaks. Beliau juga bukan sahaja popular kerana tanggapan pertama terhadap nisbah rigonometri yang digunakan pada masa kini, tetapi juga sumbangannya terhadap pembetulannya kepada hasil kerja Ptolemy.
“Apakah orang yang tidak beriman itu tidak mengetahui bahawa langit dan bumi kedua-duanya dulu adalah sesuatu yang padu. Kemudian kami pisahkan antara keduanya” 
 (Surah Al-Anbia ayat 30)

Ayat ini menerangkan mengenai teori letupan besar (Big Bang) yang diterima kini.


2. Sumbangan para sarjana Islam 

Berikut adalah antara para sarjana Islam yang memberi sumabangan besar terhadap perkembangan dunia astronomi dunia. Di sini hanya diletakkan sebilangan dari mereka. Untuk lebih lanjut cuba carinya di laman web. Semoga memberi manfaat.

a) Al-Sufi (903-986 Masihi) 


Di barat Al-Sufi dikenali dengan nama Azophi.
Beliau membuat beberapa pemerhatian mengenai keserongan garis ekliptik (arah laluan bagi matahari, bulan, dan planet) dan juga pergerakan matahari (panjang setahun mengelilingi matahari). Beliau juga ada membuat pemerhatian mengenai ciri-ciri bintang mengikut buruj-buruj, membincangkan mengenai kedudukan bintang, magnitud dan warnanya. Selain itu beliau juga ada menulis mengenai astrolab dan seribu satu penggunaannya.



Peralatan astrolabe yang ditulis oleh Al-Sufi mengenai penggunaannya. 
b) Al-Biruni (973-1050 Masihi)

Al-Biruni turut memberi sumbangan dalam bidang astrologi pada zaman Renaissance. 
Beliau telah menyatakan bahawa bumi berpusing di atas paksinya sendiri . Beliau juga telah mengira mengenai ukur lilit bumi, dan membetulkan secara saintifik arah Kota Makkah dari mana-mana arah di dunia. Hasil kerja Al-Biruni mencapai jumlah 150 hasil, termasuk 35 dalam bidang astronomi tulen.
c) Ibnu Yunus (1009 Masihi) 
Sebuah kawah dipermukaan bulan dinamakan sebagai Ibn Yunus

Beliau membuat pemerhatian selama hampir 30 tahun (977-1003) menggunakan kebanyakan astrolabe yang besar sehingga yang berdiameter 1.4 meter, menentukan lebih dari 10,000 catatan mengenai kedudukan matahari sepanjang tahun.  
d) Al-Farghani

Abu'l-Abbas Ahmad ibn Muhammad ibn Kathir al-Farghani merupakan antara sarjana Islam dalam bidang astronomi yang amat dikagumi.

Beliau adalah merupakan salah seorang ahli astronomi khalifah al-Makmun. Beliau ada menulis mengenai astrolabe, menerangkan mengenai teori matematik disebalik penggunaan alatan dan membetulkan kesalahan geometri dalam pembinaan cakera tengah. Kitab belliau yang paling popular ialah fi Harakat Al-Samawiyah wa Jaamai Ilm al-Nujum yang membincangkan mengenai kosmologi. Kitab ini mengandungi 30 bab termasuk penerangan mengenai kawasan bumi yang boleh didiami, saiznya dan juga mengenai fenomena di bumi.

e) Al-Zarqali (dikenalli sbg Arzachel di barat) (1029-1087)
Wajah Al-Zarqali diabadikan pada setem di Sepanyol bagi menghargai sumbangan beliau terhadap penciptaan astrolab yang lebih baik

Beliau telah menyediakan jadual Toledan dan juga merupakan seorang pereka yang telah membina astrolab yang lebih kompleks yang diberi nama Safiha.


f) Jabir Ibn Aflah (1145 Masihi) 

Jabir Ibn Aflah atau dikenali sebagai Geber adalah seorang ahli matematik Islam berbangsa Sepanyol.

Beliau adalah orang pertama yang mencipta sfera cakerawala mudah alih yang digunakan untuk mengukur dan menerangkan mengenai pergerakan objek samawi. Antara sumbangan beliau yang utama ialah dalam bidang trigonometri sfera. Antara hasil kerja beliau ialah Kitab al-Hay’ah. 

Sumbangan Tamadun Islam Dalam Bidang Perubatan



1.0 PENGENALAN

Semua ahli sejarah moden mengakui bahawa perkembangan ilmu
perubatan di barat banyak dipengaruhi oleh perubatan muslim. Sebelum abad ke-14, tidak ada ilmu yang bernilai dipraktikkan di Eropah melainkan sesudah kedatangan ilmu perubatan ke sana, kemudian apabila ilmu perubatan Islam sampai ke sana, ilmu perubatan muslim telah dikaji dengan bersungguh-sungguh oleh penuntut-penuntut di Eropah.

Tanpa kita sedari, seabad yang lalu iaitu dalam abad ke-19 masihi, ilmu perubatan muslim mula dihapuskan di dalam kurikulum ilmu perubatan di Eropah. Mereka mula menyatakan bahawa tokoh-tokoh ilmuan mereka adalah yang pertama membuat penemuan-penemuan baru seperti Corpernicus (meninggal dunia 1543) adalah tokoh pertama dalam bidang Astronomi dan Paracelsus (meninggal dunia 1541) adalah tokoh dalam bidang perubatan dan kimia.Ilmu perubatan muslim bermula pada zaman Bani Umayyah (661-720 masihi) dan berkembang pesat dalam zaman Abbasiyah (750-1258 masihi). Islam sangat menitikberatkan kesihatan umatnya. Kehebatan para ilmuan Islam ketika itu adalah mereka yang pakar dalam bidang sains falsafah dan dalam bidang perubatan adalah orang yang sama dan mereka ini dipanggil “Hakim”.

Tahukah anda, bahawa kebanyakkan ilmu perubatan muslim dicedok dari ilmu perubatan di Parsi, Yunani, India, dan Mesir. Maka, ilmu perubatan muslim terpancar sebagai integrasi antara- teori-teori perubatan Yunani, warisan Hippokrates selain daripada pengalaman bangsa Parsi dan India kerana para doktor Parsi dan India berkepakaran khusus dalam bidang pharmakologi. 

Dalam bidang perubatan, begitu ramai ahli dan sarjana perubatan wujud bagi mengembang ilmu perubatan diserata dunia. Antara sarjana perubatan muslim yang terawal ialah AL-HARITH IBN KALADAH (634M) yang berasal dari Thaif dan mula mempelajari ilmu perubatan di Yaman dan mempelajari ilmu ubat-ubatan di Parsi.

Dalam kajian ini, akan membicarakan beberapa orang tokoh sarjana perubatan Islam yang agung yang banyak memberi sumbangan dalam perkembangan Islam seperti Ibnu Sina , Abu Qasim Al-Zahrawi dan Al-Razi.

2.0 IBNU SINA BAPA SEJARAH SAINS

2.1 Latar Belakang 

Avicenna adalah satu nama yang sentiasa meniti dibibir-bibir masyarakat barat di Eropah. Kehebatan beliau bukan sahaja dalam bidang perubatan bahkan dalam bidang falsafah beliau banyak mempengaruhi kebudayaan di barat. Nama sebenar beliau ialah Abu Ali Al- Huseyn bin Abdullah bin Hassan Ali bin Sina. Anak berbangsa Parsi ini, dilahirkan di desa Afshanah dekat kota Kharmaitan Propinzi Bukhara Afghanistan pada 375 Hijrah bersamaan 985 Masihi.

Beliau mula menimba ilmu secara tidak formal sejak usia 5 tahun lagi. Hasil bimbingan sahabat karib ayahnya Abu Abdullah Natili, seusia 10 tahun beliau sudah berjaya menghafal Al-Quran. Dalam usia 10 tahun juga, beliau telah memumtazkan diri dalam cabang ilmu agama seperti fiqh, ususluddin, tafsir, tassawuf dan sebagainya. Antara bidang ilmu kemanusiaan yang berjaya dikuasainya ialah kedoktoran, falsafah, geometri, astronomi, matematik, sastera, muzik, politik, fizik, kimia dan kosmologi.

Pada usia meniti 18 tahun beliau telah dianugerahkan gelaran “Doktor Di-Raja” setelah beliau berjaya mengubati penyakit Sultan Nuh 11 bin Mansur di Bukhara pada tahun 378 Hijrah bersamaan 997 Masihi yang gagal diubati oleh doktor-doktor lain. Kehebatan dan kepakaran beliau membawa beliau digelar al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Sepanjang hidupnya, beliau telah banyak memberi sumbangan khususnya dalam bidang perubatan sebelum beliau menghembuskan nafas beliau yang terakhir di Hamdan ,dalam usia 58 tahun pada bulan Ramadhan 428 Hirah bersamaan 1037 Masihi.

2.2 Sumbangan dan Pencapaian Ibnu Sina

2.2.1 Hasil Tulisan dan Ensiklopedia

Sebagai seorang ahli perubatan dan falsafah serta dalam masa yang sama beliau banyak terlibat dalam bidang-bidang lain, beliau banyak menghasilkan karya-karya dan tulisan sebagai panduan dalam sesuatu bidang khususnya dalam bidang perubatan. Beliau telah menghasilkan 250 karya yang masih kekal sehingga hari ini termasuk 116 karyanya khas dalam bidang perubatan.

Antara karya beliau yang terkenal adalah “Al-Qanun Fi Al-Tibb” (Peraturan Perubatan) yang terdiri daripada 14 jilid diterbitkan di Rom pada tahun 1593 dan telah dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan. Karyanya ini telah dialih bahasa ke bahasa Latin oleh Gerard Cremona sebaik sahaja beliau berpindah ke Toledo, Sepanyol dalam kurun ke-12 Masihi. Kehebatan karya beliau menjadikan karyanya sebagai sumber rujukan utama di universiti-universiti terkemuka di Eropah terutamanya di Itali dan Perancis sehingga kurun ke-17. Misalnya di Sekolah Tinggi Kedoktoran Montpellier dan Louvin telah menggunakannya sebagai bahan rujukan pada abad ke 17 M. Sementara itu Prof. Phillip K. Hitpi telah menganggap buku tersebut sebagai "Ensiklopedia Kedoktoran". Karyanya ini, telah cetak semula sebanyak 16 kali, 15 kali dalam bahasa Latin dan satu kali dalam bahasa Yahudi. Menjelang abad ke-16, karyanya ini telah dicetak sebanyak 21 kali. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, karya tersebut telah dialih bahasa ke 15 buah bahasa antaranya bahasa Inggeris yang dikenali sebagai Pr

Selain daripada “Al-Qanun Fi Al-Tibb”, Ibnu Sina juga telah menulis satu karya yang bertajuk Remedies for The Heart yang mencangkirkan sajak-sajak mengenai perubatan. Dalam buku beliau ini, terdapat 760 jenis penyakit beserta dengan cara untuk menawarkan penyakit-penyakit tersebut.

2.2.2 Teori-teori dan Pendapat

Penulis-penulis barat menganggap Ibnu Sina sebagai “Bapa Doktor” kerana beliau telah menggabungkan teori perubatan Yunani Hippocrates dan Galen juga pengalaman daripada sarjana perubatan di India dan Parsi bersama pengalaman beliau sendiri menghasilkan penemuan-penemuan baru yang lebih baik dari sebelumnya. Beliau berpendapat bahawa perubatan adalah satu cabang ilmu mengenai kesihatan dan sakit pada tubuh manusia.

Beliau telah memperkenalkan satu cabang ilmu perubatan iaitu ilmu perubatan psikosomatis atau “psychosomatic medicine” yang menggabung ilmu psikologi dan perubatan dalam membantu pesakit yang mengalami ganguan emosi dalam hidup. Beliau telah memperluaskan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengenal pasti dalam masa beberapa detik sahaja ketidak - seimbangan humor yang berkenaan . Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor dari Amerika (1981) menerangkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai .Ini merangkumi :
a. Kuat atau denyutan yang lemah.
b. Masa antara denyutan. 

c. Kandungannya lembap di paras kulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.
Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang, hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihidapi oleh pesakit.
Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.
Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya , beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:
Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti , seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan , nama jalan , rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu , kata Ibnu Sina "Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya , menurut peraturan syariah maka buatlah".(Terjemahan). 
2.2.3 Penemuan-Penemuan

Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (plumonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.
Ibnu Sina ialah tabib pertama yang secara tepat menerangkan meningitis, beliau juga telah menemui bagaimana jangkitan tibi berlaku, juga menerangkan penyakit yang menyebabkan penyakit kuning (jaundice).

3.0 ABU AL-QASIM KHALAF PAKAR BEDAH MUSLIM

3.1 Latar Belakang

Masyarakat Eropah menggelar Abu al-Qasim Khalaf ibn al-Abbas al-Zahrawi sebagai Abucasis. Pakar bedah muslim yang terkenal itu dilahirkan pada 936M di Zahra yang terletak berdekatan dengan Cordoba, Sepanyol semasa pemerintahan Khalifah Abdur Rahman III. Abu Qasim meninggal dunia pada tahun 1013 dengan meninggalkan asas perubatan yang akan diingati sepanjang zaman.

3.2 Sumbangan dan Pencapaian

Di kalangan ahli perubatan Islam, beliau dikenali sebagai perintis ilmu pengenalan penyakit (diagnosis) dan cara penyembuhan penyakit telinga, Abu Qasim telah merintis pembedahan telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara saksama anatomi saraf-saraf halus, pembuluh-pembuluh darah dan otot-otot.

Selain itu, beliau turut mempelopori pengembangan ilmu bagi penyakit kulit. Abu Qasim pernah mengarang beberapa buah buku tentang bidang kedoktoran dan peralatan-peralatannya 
dalam sebuah ensiklopedia perubatan bertajuk At-Tasrif liman ‘Azija ‘an at-Ta’lif yang menerangkan secara jelas diagram mengenai 200 peralatan pembedahan. Ilustrasi diagram tersebut memberi gambaran banyak peralatan yang boleh digunakan untuk keperluan perubatan pergigian.

Pada bahagian akhir buku karangannya yang mengandungi 30 bab itu, beliau menyatakan tentang luka dan cara pembedahannya, pengubatan tulang yang remuk, penyakit gigi sekali gus dengan kaedah perubatannya tentang pembakaran luka dan pembersihan kotoran dalam rahim selepas bersalin. Buku itu kemudian meletakkan dasar-dasar pengembangan kedoktoran pergigian di Eropah. Malah beberapa bahagian penting dalam buku tersebut telah diadaptasi oleh seorang ahli bedah Perancis yang terkenal di Eropah, Guy de Chauliac. Al-Tasrif diterjemahkan buat kali pertama dalam bahasa Latin oleh Gherard of Cremona dan diikuti oleh beberapa terbitan lain di Eropah.

Pada abad ke-12, secara umumnya kaedah perubatan kesihatan yang terbaik adalah di negara-negara Islam. Baghdad, misalnya, pada tahun 1160 mempunyai lebih daripada 60 buah klinik. Malah para doktor dan ahli farmasi di Baghdad perlu mendapat latihan secukupnya sebelum terjun ke dunia perubatan. Dr. Donald Campbell dalam bukunya, Arabian Medicine and Its Influence on the Middle Ages, mengakui bahawa buah fikiran Abu Qasim banyak dipengaruhi oleh sistem perubatan Barat. Di Eropah, beliau pernah menerima pujian sebagai ahli perubatan yang mempunyai reputasi tinggi seperti mana Galen dan Hippocrates. Sehingga abad ke-15, silibus pelajaran media di Universiti Tubingen masih menggunakan salah satu karya Abu Qasim iaitu Kitab al-Masnur. 


Sebahagian daripada penulisannya mengenai perubatan diterbitkan ke dalam bahasa Latin yang bertajuk Liber Theorical nec non Practiceas-Sharavii(1519). Bukunya yang lengkap mengenai ulasan pembedahan, Abulcasis de Chirurgia Arabice et Latine Cura Johannis Channing, telah diterbitkan di Venice pada 1479, Basla (1541) dan Oxford (1778). Karyanya yang lain ditemui dalam buku History of Medicine jilid I oleh M.Neuberger pada 1910 dan Carl Brockelmann menjumpai karyanya dalam buku Geschichte der Arabischen Literatur jilid I pada 1898.


4.0 AR-RAZI PAKAR FARMASITIKAL


4.1 Latar Belakang

Al-Razi merupakan seorang tokoh perubatan Arab yang terkenal pada Zaman Pertengahan. Nama sebenar beliau ialah Abu Bakr Muhammad Ibn Zakariya tetapi di kalangan masyarakat Eropah, beliau lebih dikenali dengan nama Rhazes. Beliau yang berbangsa Parsi dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran, Iran pada tahun 864M bersamaan 251H..
Memandangkan minatnya yang tinggi dalam bidang tersebut, beliau telah dilantik sebagai ketua di sebuah hospital di Rayy setelah kembali dari Baghdad. Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah di sebuah hospital utama di Baghdad semasa pemerintahan Adhud Daulah. Sebaik sahaja bersara, beliau kembali ke kampungnya di Rayy di mana beliau telah mengajar kesihatan di hospital tempatan dan menyambung minatnya dalam bidang penulisan. Al-Razi akhirnya meninggal dunia pada tahun 930 M.
4.2 Sumbangan 

Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam pelbagai bidang. Beliau menjadi perintis dalam bidang pediatrik (berkaitan kanak-kanak), obstetrik (ilmu perbidanan) dan ophthalmologi (berkaitan mata). Walau bagaimanapun, jasa beliau dalam bidang perubatan memang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau digelar "Bapa Pediatrik" oleh ahli sejarah kerana usahanya yang bersungguh-sungguh untuk mengubati penyakit kanak-kanak. Beliau juga orang yang pertama mengenalpasti penyakit 'hay fever' dan penyebabnya.
Al-Razi juga adalah orang yang pertama memperkenalkan alkohol (Bahasa Arab: Al-Kuhl) untuk tujuan perubatan. Beliau juga adalah pakar bedah yang terkemuka dan orang yang pertama menggunakan opium (dadah) untuk tujuan bius. Beliau juga menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau mengaitkan ini sebagai hasil pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan.
Al-Razi adalah orang yang pertama membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa dan juga saintis pertama yang membincangkan mengenai pembesaran dan pengecilan pupil mata. Beliau menerangkan bahawa reaksi tersebut berlaku kerana tindak balas terhadap keamatan cahaya.
Al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litoriti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil supaya senang dikeluarkan melalui saluran kencing. Selain daripada itu, beliau juga telah memberikan sumbangan dalam usaha mengubati penyakit cacar dan campak. Al-Razi merupakan orang yang pertama membezakan kedua-dua penyakit ini seterusnya membuat kajian sistematis mengenai penyakit tersebut. Ini dicatatkan dalam buku beliau yang bertajuk Al-Judari wa al Habsah. 

Al-Razi juga telah memperkenalkan perkara-perkara berikut dalam ilmu farmasi:
a. Penggunaan ubat untuk melawaskan pembuangan air besar secara lembut
b. Penggunaan air sejuk untuk menyembuhkan demam yang melarat
c. Penciptaan benang seton dan pembakaran tisu untuk kes-kes luka
Al-Razi juga menekankan hubungan di antara doktor dan pesakit. Beliau menyarankan agar wujudnya ikatan kepercayaan antara kedua-dua pihak ini: "Komen yang positif daripada doktor akan menguatkan semangat pesakit, membuatkan mereka rasa lebih selesa serta membantu proses pemulihan". Beliau juga mengingatkan kepada para pesakit: "Bertukar-tukar doktor pula akan hanya membazirkan kesihatan, masa dan wang pesakit itu sendiri". 
4.3 Hasil Karya

Al-Razi telah menghasilkan 237 buah buku di mana 140 buah daripadanya adalah berkaitan bidang perubatan. Sepuluh buah daripada buku-buku perubatan tersebut telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Antara kitab yang telah beliau hasilkan ialah Kitab al-Mansuri, Kitab al-Hawi Fit-Tibb, Kitab al-Muluki dan Kitab al-Judari wa al-Hasabah.
Kitab al-Hawi Fit-Tibb merupakan karya beliau yang termasyhur. Kitab ini juga dikenali sebagai 'Comprehensive Book' yaang merangkumi ilmu perubatan patologi dan terapi dari sumber-sumber Yunani, India dan Arab. Sepanjang hidupnya, beliau telah membuat pelbagai kajian mengenai ilmu perubatan. Beliau akhirnya telah menghimpunkan kesemua pengalaman perubatan tersebut ke dalam Ensiklopedia Perubatan yang berjumlah 20 jilid. Kitab al-Hawi merupakan pecahan terbesar di mana ia meliputi 9 jilid. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dengan nama 'Liber Continens' oleh doktor perubatan Yahudi berbangsa Sicily, Faraj Ibn Sallim (Farragut) pada 1279M dan diulang cetak beberapa kali pada 1509M di Venice dan juga 1528M, 1578M dan 1745M di Paris.
Kitab al-Mansuri pula merupakan kitab perubatan pertama yang ditulis oleh beliau. Ia dinamakan sempena nama pemerintah Rayy pada masa itu iaitu Mansur Ibn Ishaq. Ia telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin pada 1480M di Milan dan dikenali dengan nama 'Liber AlMansoris'. Ia mengandungi 10 jilid dan sebahagian daripadanya telah diterbitkan ke dalam bahasa Jerman dan Perancis. Terjemahan jilid ke-9 yang telah ditulis oleh Gerard Cremona dengan nama 'Nonus Al-Mansuri' adalah teks terkenal di Eropah sehingga kurun ke-16.
Kitab al-Judari wa al-Hasabah pula adalah kajian menyeluruh yang pertama berkenaan penyakit cacar dan campak. Ia diterjemahkan ke dalam bahasa Latin buat kali pertama pada 1565M dan kemudian ke dalam bahasa-bahasa lain dan diulang cetak sehingga 40 edisi di antara 1498-1866M. Ia telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris oleh William A. Greenhill 
di London pada 1848M. Tesis berkenaan kedua-dua penyakit ini diiktiraf sebagai kajian sistematis yang sulung dalam sejarah perubatan. Pada masa yang sama juga, beliau telah menyarankan beberapa petua untuk merawat kedua-dua penyakit tersebut.

Saturday 21 April 2012

Antara kekuatan jati diri dan pengaruh masyarakat

Mana yang lebih kuat?

Jati diri atau pengaruh masyarakat?

Menurut Ibn Khaldun, sebenarnya pengaruh masyarakat lebih kuat berbanding jati diri.
Mungkin ramai di antara kita yang mahu berubah, mungkin dari berbagai aspek. Kita mudah untuk memiliki azam yang tinggi untuk mengubah diri kita.Tetapi suasana lebih mempengaruhi keazaman kita.
Mungkin sebagai contoh, kita berazam untuk berjemaah di masjid setiap hari pada waktu Isya’, jadi kita pun bersemangat untuk pergi. Tetapi kita tinggal serumah dengan 6 orang yang lain yang lebih suka solat di rumah. Cukuplah dengan hanya sebab rakan-rakan lain lebih suka solat di rumah, lama kelamaan kita pun akan ikut solat Isya’ dirumah sahaja, kerana suasananya kita seorang sahaja yang ‘lain’.
Tetapi jika perkara ini berlaku sebaliknya, yakni 6 orang rakan serumah kita suka berjemaah di masjid, dan hanya kita yang suka solat dirumah, lama-kelamaan kita pun ikut serta berjemaah di masjid.

Hidup diperantauan

Begitulah juga kehidupan di tempat orang. Sedikit sebanyak pengaruh masyarakat dan suasana disini mempengaruhi diri kita. Mungkin ada yang baik untuk kita, tapi mungkin juga ada yang buruk.
Oleh kerana itu, penting bagi kita mencari, memilih, dan menjadi rakan-rakan yang ‘baik’ supaya tercipta satu suasana yang membantu dalam proses tarbiyah diri kita. Bertepatan dengan salah satu syarat-syarat Tarbiyah iaitu sahabat yang baik.
InsyaAllah, carilah, pilihlah, dan jadilah sahabat yang baik yang memiliki kejujuran dan mengajak ke arah mengingati Allah. Itulah Ukhuwwah yang sejati.
Seeru ‘ala barakatillah