BismillahirRahmanirRahim. “Segala
puji bagi Allah, kami memuji-Nya dan meminta pertolongan kepada-Nya.
Siapa yang ditunjuki Allah tidak ada yang akan menyesatkannya, dan siapa
yang disesatkan Allah tidak ada yang dapat menunjukinya. Sesungguhnya
sebenar-benar percakapan ialah Kitabullah (Al-Quran). Sebaik-baik
petunjuk, sunnah Muhammad SAW. Seburuk-buruk pekara, sesuatu pekara baru
yang diada-adakan dalam agama Allah. Setiap pekara baru yang
diada-adakan dalam agama adalah Bid’ah. Setiap bid’ah itu pasti
menyesatkan dan setiap pekara yang menyesatkan sudah tentu tempat
kembalinya ke neraka. Aku mengakui tidak ada Tuhan selain Allah
satu-satu-Nya, tidak ada sekutu bagi-Nya dan Muhammad SAW itu
sesungguhnya hamba-Nya dan Rasul-Nya.” Amma ba'du. Assalamu’alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Sebagaimana
yang telah kita semua ketahui Negara Syam dan Timur Tengah secara
umumnya memainkan peranan penting dalam kerja-kerja peralihan sebahagian
besar peradaban Islam ke Eropah barat. Perang Salib yang berlaku di
Negara Syam mempengaruhi perhubungan politik, perkembangan tamadun dan
perniagaan di antara kuasa-kuasa Islam dan Kristian di timur dan barat.
Namun
begitu Perang Salib yang meletus di Timur Tengah tidak memainkan
peranan penting dalam usaha memindahkan tamadun Islam ke Eropah Barat
kerana tentera salib yang datang menyerang bukan bertujuan mencari ilmu
pengetahuan tetapi sebaliknya mereka datang semata-mata mahu memerangi
orang-orang Islam. Sebaliknya mereka turut menyimpan dendam kesumat yang
mendalam terhadap orang-orang Islam serta ingin menjadikan
Negara-negara Islam sebagai Negara yang berada di bawah jajahan mereka.
Maka apa yang telah kita semua ketahui bahawa peperangan ini tidak akan
berakhir selagi kubu tentera Kristian di Bandar A’ka, Syam yang dibina
pada tahun 1291 tidak dihancur serta dimusnahkan.
Walaupun peperangan tersebut reda untuk sementara waktu pada abad ke 12 dan 13, namun ia kembali meletus
selepas itu. Inilah keadaan tentera salib (Crusades). Mereka tidak
berpeluang untuk berada dalam keadaan aman. Mereka juga tidak berpeluang
berdamai dengan orang-orang Arab Muslim, seperti yang dirasai oleh
saudara mereka daripada bangsa-bangsa Eropah di Andalus dan Pulau
Sicily. Mereka beranggapan bahawa orang-orang Islam merupakan penghalang
untuk menjadikan mereka kuasa besar pada ketika itu.
Tetapi
sebaliknya Perang Salib meninggalkan banyak pengajaran dalam mengatur
strategi serta taktik peperangan di kalangan orang Eropah seperti
membina kubu, cara menggunakan perisai ketika menunggang kuda, cara
mengepung musuh dan cara mengunakan senjata-senjata perang serta cara
mengutuskan surat perang yang dibawa oleh burung pada ketika itu.
Tentera Salib turut menganugerahkan bintang kehormat serta darjah
kebesaran kepada para tentera. Semua ini ditiru daripada amalan tentera
Islam yang berpengkalan di Syam. Namun mereka (tentera salib) menafikan
sekeras-kerasnya peniruan tersebut. Apa yang terjadi, situasi itu
sebenarnya telah diamalkan oleh keseluruhan Negara di dunia ini pada
masa kini.
Perubahan
lain yang dapat dilihat daripada peperangan ini ialah perpindahan
specis tumbuh-tumbuhan dan hasil tanaman dari timur tengah ke Eropah
seperti bijian, padi, limau serta barang keperluan makanan yang lain.
Selain itu juga beberapa adat resam, taklid serta prosedur-prosedur
Islam yang ditiru oleh bangsa Eropah.
Sebagai
contoh, Usamah bin Munkis (1188) ada menjelaskan mengenai seorang
sahabatnya yang diundang menjamu selera di rumah seorang tentera Eropah
daripada golongan tentera salib di Syam. Beliau dihidangkan dengan
makanan yang enak dan istimewa namun, beliau enggan menjamah makanan
tersebut lalu berkata :
“Makanlah
dengan senang hati kerana aku tidak memakan masakan Eropah. Aku juga
mempunyai tukang masak wanita dari Mesir. Rumahku ini tidak dihidang
daging babi dan aku hanya memakan makanan yang dimasak oleh tukang masak
rumahku sahaja”
Ketika
orang-orang Eropah mula menaruh minat kepada peradaban Islam, mereka
menumpukan segenap usaha dan tenaga bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam.
Mereka melakukannya dengan penuh semangat dan ini memberikan kesan yang
begitu mempengaruhi cara berfikir orang Eropah. Sekalipun sebahagian
besar orang Eropah yang berada di Negara Arab tidak menjalankan
kerja-kerja menterjemah ilmu, namun masih ada di kalangan mereka yang
meneruskan kerja-kerja menterjemahkan kitab-kitab bahasa Arab ke bahasa
Latin. Hasilnya, banyak karya Islam berjaya diterjemahkan ke
bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa Latin.
Lihatlah
kesan yang berpanjangan terhadap bangsa-bangsa Eropah sehingga ke hari
ini, ada di kalangan mereka yang sudah mahir berbahasa Arab walaupun
mereka bukanlah menganut agama Islam. Usaha untuk memertabatkan Islam
itu seiring dengan kesan Perang Salib yang berlaku sejak beratus-ratus
tahun yang lalu. Walaupun pada ketika itu orang-orang Islam diperlakukan
dengan kejam oleh orang-orang Kristian, namun kesan penaklukan budaya
Islam itu tetap utuh sehingga ke hari ini. Lihat saja di bandar-bandar
besar di pusat bandar Eropah, Tamadun kesenian Islam itu tetap terpancar
dan terukir di setiap ukiran-ukiran banggunannya yang tersergam indah
dan memukau.
Perang
Salib telah lama berlalu, namun kesannya terhadap dunia Islam dan dunia
masyarakat Eropah masih segar dalam ingatan sehingga ke hari ini. Maka
tidak hairanlah ramai pengkaji-pengkaji dari barat menyatakan bahawa
sebenarnya bangsa Eropah adalah bangsa yang berimejkan peradaban tamadun
Islam untuk memajukan negara mereka. Islam telah membawa bangsa Eropah
melalui satu proses perubahan ketamadunan manusia yang bermula dari
kegelapan kepada kegemilangan bangsa dan negaranya. Maka, mengapa kita
yang dilahirkan sebagai bangsa yang menganut agama Islam tidak
mengiktiraf sedikitpun malahan langsung tidak mengenali tamadun yang
gemilang yang telah dibawa oleh Islam untuk manusia sejagat?
WaAllahua’lam.
No comments:
Post a Comment